MASALAH TINGKAH LAKU

Definisi Tingkah Laku

Tingkah laku adalah apa yang dilakukan atau diperkatakan oleh seseorang individu. Tingkah laku merupakan semua tindakan manusia yang boleh diperhati, diukur, dinilai dan sebarang perbuatan yang dilakukan sama ada secara terus atau tidak, secara sedar atau separa sedar. Tingkah laku adalah manifestasi fizikal sebarang sikap yang berasaskan nilai-nilai tertentu. Menurut Lewis M.Beaker (2001), sebarang perbuatan yang dilakukan sama ada secara terus atau tidak, secara sedar atau separa sedar.
Menurut Garry Martin dan Joseph Pear (2003),  tingkah laku juga merangkumi aktiviti, aksi, prestasi, bertindakbalas, tindakan, dan reaksi dari segi teknik, aktiviti yang melibatkan otot-otot, kelenjar (glandular) dan aktiviti elektrik oleh setiap organ. Pada dasarnya tingkah laku adalah apa sahaja yang diperkatakan atau dilakukan oleh individu. Carl Rogers (1999), menekankan bahawa seseorang individu bertingkah laku mengikut persepsi diri sendiri dan keadaan. Sekiranya individu itu mempunyai konsep kendiri yang positif maka dia berupaya berinteraksi dan bertindak dengan lebih yakin. Menurut Al-Ghazali pula dari perspektif Islam, tingkah laku manusia mempunyai tujuan agama dan kemanusiaan.Tingkah laku normal dan tidak normal adalah berdasarkan kepada kekerapan dan berlaku sepanjang masa dan mempunyai masalah psikologi.
Masalah tingkah laku atau gangguan emosi yang serius merujuk kepada keadaan di mana ciri-ciri yang berikut berlaku pada tempoh yang lama, pada darjat yang ketara dan keadaan ini menjejaskan prestasi pembelajaran.
Tingkah laku bermasalah ialah merujuk kepada sebarang tingkah laku sama ada positif ataupun negatif yang menjejaskan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Tingkah laku terbahagi kepada dua iaitu tingkah laku positif dan tingkah laku negatif. Tingkah laku positif terbahagi kepada empat iaitu sikap ingin tahu, cepat belajar, proaktif dan pintar cerdas. Manakala tingkah laku negatif pula terbahagi kepada tiga iaitu tingkah laku distruktif, distruptif dan sikap bergantung.



Definisi Tingkah Laku Bermasalah
Kanak-kanak yang menghadapi masalah tingkah laku tidak boleh menyesuaikan dirinya dengan kelakuan-kelakuan yang diterima oleh masyarakat dan selalunya keadaan ini menjejaskan keadaan pelajarannya, keupayaan untuk belajar dan perhubungannya dengan orang lain. Di dalam bahasa Inggeris, tingkah laku bermasalah disebut sebagai "abnormal behavior" iaitu tingkah laku yang terkeluar dari nilai dan norma masyarakat. Konsepnya bertentangan dengan tingkah laku normal yang lazimnya dipersepsi, dirasai, dilakukan dan dialami oleh kebanyakan orang dalam masyarakat.
Mohd Nazar Mohamad ( 1990 ) mentakrifkan tingkah laku bermasalah individu sebagai tingkah laku yang menggangu perjalanan kehidupannya. Menurut  Robert H Woody di dalam bukunya berjudul ‘ The School and the Behaviour Problem Child ‘ menyatakan semua tingkah laku di sekolah dapat diperlihatkan dalam berbagai bentuk dan ragam. Kanak-kanak tidak dapat menyesuaikan diri mereka dengan keadaan dan suasana pembelajaran. Keadaan begini selalu menjejaskan pelajaran dan keupayaan mereka untuk belajar dan berhubung dengan orang lain.
Dalam konteks pendidikan, tingkah laku bermasalah merujuk kepada sebarang tingkah laku pelajar yang boleh menjejaskan kelicinan atau keberkesanan pengajaran dan pengajaran khasnya di dalam bilik darjah. Tingkah laku bermasalah boleh berupa negatif atau positif. Yang pastinya tingkah laku bermasalah ini boleh membawa kesan yang tidak baik atau memudaratkan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab seorang guru mengenalpasti murid-murid yang bertingkah laku bermasalah di dalam kelasnya agar strategi atau teknik tertentu dapat digunapakai bagi memastikan keberkesanan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah dapat berjalan dengan lancar serta berkesan.



Tingkah Laku Positif
Tingkah laku positif merupakan tingkah laku kanak-kanak merupakan tingkah laku yang baik untuk perkembangan mereka. Dengan adanya tingkah laku ini, kanak-kanak akan lebih bersemangat untuk melibatkan diri dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Sikap ingin tahu kanak-kanak akan membantu guru dalam meransang pemikiran kanak-kanak. Hal ini amat penting dalam perkembangan kognitif mereka. Dengan sikap ingin tahu kanak-kanak ini, guru dapat membina aktiviti yang lebih melibatkan penerokaan kerana pada tahap ini, kanak-kanak akan suka pada aktiviti seperti ini.
Kanak-kanak yang cepat belajar juga merupakan tingkah laku yang positif kerana akan memudahkan guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Guru tidak perlu melakukan proses pemulihan sekiranya kanak-kanak cepat belajar. Guru cuma perlu fikirkan aktiviti pengayaan uantuk kanak-kanak tersebut. Kanak-kanak yang proaktif juga merupakan tingkah laku positif. Kanak-kanak proaktif berbeza dengan kanak-kanak hyperaktif. Kanak-kanak proaktif merupakan kanak-kanak yang suka melibatkan diri pada aktiviti, suka bermain dan lebih mudah dikawal oleh guru. Kanak-kanak pintar cerdas jarang dijumpai namun jika terdapat kanak-kanak seperti ini, guru harus pandai memberikan aktiviti yang menarik agar mereka tidak mudah bosan.



Jenis-jenis Tingkah Laku Bermasalah Positif 
Tingkah laku ingin tahu merupakan salah satu tingkah laku bermasalah positif. Kanak-kanak yang mempunyai masalah tingkah laku ini mempunyai sikap ingin tahu yang tinggi terhadap sesuatu perkara yang dilihat. Walaupun secara umumnya perlakuan tersebut dilihat adalah sangat baik dan positif dari segi pembelajaran seorang murid, namun sebaliknya ia mengganggu kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran yang sedang berlaku. Sebagai contoh kes yang berlaku di sekolah, murid A yang berperilaku ingin tahu yang keterlaluan akan menyebabkan murid A itu suka bertanya tidak putus - putus sehingga mengganggu proses penerangan sesuatu topik yang dipelajari semasa proses pembelajaran dan pengajaran berlaku . Murid lain yang sedang cuba memahami atau memberi fokus terhadap sesuatu topik pembelajaran dan memerlukan kosentrasi serta suasana yang kondusif turut mengalami gangguan dari murid A.
Tingkah laku cepat belajar merupakan tingkah laku positif yang membawa maksud cepat menangkap atau ‘catch up’ sesuatu perkara yang baru dipelajari. Kanak-kanak tingkah laku cepat belajar dapat mempelajari sesuatu yang baru dengan cepat. Tingkah laku cepat belajar menyebabkan ketidakseimbangan dalam proses pembelajaran yang sedang berlangsung. Apabila berlaku perlakuan murid seperti ini, gangguan emosi akan berlaku dan bukan sahaja gangguan terhadap murid dalam kelas itu sendiri, malah guru juga turut akan menerima kesannya. Perkara yang dapat dilihat ialah, murid yang bermasalah ini akan cuba untuk memperkatakan perkara yang mereka fahami dalam topik yang sedang diajar oleh guru. Hal ini menyebabkan murid-murid lain yang sama kelas kehilangan minat untuk belajar kerana berasa rendah diri melihat rakan sekelas telah mempunyai pengetahuan yang lebih dalam topik itu selain lebih berminat bertanya murid tersebut berbanding guru yang sedang mengajar.
Tingkah laku positif yang lain termasuklah tingkah laku pintar cerdas. Kanak-kanak sentiasa cepat dan pantas apabila menggunakan otak dan berfikir. Murid pintar cerdas bukan sahaja ada di sekolah aliran perdana namun ianya juga ada di aliran pendidikan khas masalah pembelajaran. Walaupun majoriti murid pendidikan khas masakah pembelajaran adalah murid yang berkeperluan khas namun ada sebahagian daripada murid-murid ini yang pintar cerdas. Pertanyaan, mengganggu,dan menjawab soalan sering berlaku sehingga menganggu proses pembelajaran dan pengajaran seperti aliran perdana. Murid yang menjadi pintar cerdas ini adalah murid yang mengalami masalah lembam kerana di dalam kalangan murid pendidikan khas ini merekalah yang lebih berpengetahuan sikit, cuma kurang daya ingatan.
Selain itu, tingkah laku positif juga merangkumi tingkah laku proaktif. Kanak-kanak sentiasa menunjukkan kesungguhan atau sikap maju ke depan berbanding kawan-kawan yang lain. Mereka sentiasa aktif dan bertindak dengan penuh semangat. Mereka mempunyai naluri ingin tahu yang terlalu tinggi dan kurang sabar. Murid-murid ini bersifat demikian adalah kerana inginkan perhatian yang lebih daripada guru yang mengajar, malah murid ini juga cuba mengganggu rakan mereka dan menyebabkan rakan terasa terpinggir dan malu untuk menonjolkan diri ketika di dalam kelas.

Tingkah Laku Bermasalah Negatif
Tingkah laku bermasalah negatif pula merupakan tingkah laku yang mampu memberikan masalah dan mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Kanak-kanak yang mempunyai masalah tingkah laku negatif bukan sahaja suka mengganggu rakan lain malah seriang memberontak dalam kela.
Tingkah laku distruktif merupakan tingkah laku  kanak-kanak iaitu permusuhan nyata iaitu kanak-kanak yang sering menunjukkan tingkah laku fisikal atau pun lisan yang bertujuan menyakiti seseorang. Contohnya, seorang murid sedang beratur untuk dapatkan makanan tiba-tiba seorang murid yang lain, memotong barisan tersebut. Selain itu juga, vandalisme juga merupakan ciri-ciri tingkah laku distruktif.
Bagi kanak-kanak yang mempunyai tingkah laku distruptif pula, kanak-kanak ini biasanya mempunyai ciri-ciri hyperaktif, suka membuat bising dan agresif. Kanak-kanak yang mempunyai tingkah laku distruptif merupakan kanak-kanak yang suka bergerak, suka ketawa dengan kuat dan sering menunjukkan tingkah laku agresif kepada rakan-rakan yang lain.
Tingkah laku bergantungan pula merupakan kanak-kanak yang sering mengalami emosi kebimbangan, pergantungan berlebihan dan mempunyai nilai kendiri yang rendah. Kanak-kanak ini biasanya sering bergantung pada orang lain dalam apa juga aktiviti yang dijalankan. Kanak-kanak yang terlalu pemalu juga merupakan kanak-kanak yang mempunyai tingkah laku pergantungan.



Jenis-jenis Tingkah Laku Bermasalah Negatif 
Tingkah Laku yang Menghalang
Tingkah laku yang menghalang (bergantung) merupakan tingkah laku negatif yang boleh membahayakan diri. Antara ciri-ciri tingkah laku menghalang ialah kanak-kanak sering di bawah kebimbangan. Kanak-kanak sentiasa berasa takut, menunjukkan reaksi bimbang, tiada keyakinan diri.
Selain itu, kanak-kanak tersebut mempunyai pergantungan lebihan terhadap seseorang. Mereka terlalu mengharapkan pertolongan atau bantuan dari orang lain terutama ibu bapa atau orang yang rapat dengannya. Kanak-kanak seperti ini tidak mampu untuk membuat keputusan sendiri kerana memiliki pendirian yang kurang tegas dan tiada tujuan. Perkara ini terjadi kerana kanak-kanak mendapat perlindunganyang terlalu melampau dan sering kali dimanjakan. Ini menyebabkan kanak-kanak itu menjadi kurang yakin dan tertekan jika tiada pertolongan diberikan.
Kanak-kanak bertingkah laku menghalang akan sentiasa mengundurkan diri. Mereka malu untuk menunjukkan kebolehan diri, teragak-agak untuk memberi pendapat atau idea dan tidak yakin pada kebolehan diri. Mereka sering menggangap orang lebih baik dari dirinya padahal mereka sendiri sebenarnya mempunyai kebolehan tersebut.
Pengasingan diri juga merupakan salah satu ciri kanak-kanak bertingkah laku menghalang. Mereka tidak suka bergaul atau berkomunikasi dengan kawan-kawan. Mereka mempunyai sikap rendah diri yang terlalu tinggi dan mempunyai perasaan malu pada kawan-kawan.

Tingkah Laku yang Mengganggu
Tingkah laku yang mengganggu atau disruptif merupakan tingkah laku yang boleh membahayakan orang lain. Hiperaktif merupakan salah satu ciri kanak-kanak bertingkah laku mengganggu. Mereka berkelakuan atau bertingkah laku yang tersangat agresif.
Di samping itu, kanak-kanak yang mempunyai masalah tingkah laku ini berkelakuan nakal. Mereka suka menggangu kawan-kawan, membuli atau menyakat kawan-kawan sekelas. Mereka suka membuat bising, menganggu ketenteraman bilik darjah dan banyak bercakap.
Kanak-kanak bertingkah laku mengganggu suka bergerak sesuka hati. Mereka suka keluar masuk kelas tanpa kebenaran, berjalan-jalan di dalam kelas semasa sesi pembelajaran berlaku dan melakukan aktiviti yang disukai bila-bila masa.
Selain itu, mereka suka ketawa kuat, mereka akan ketawa dengan suara yang nyaring dan kuat tanpa menghiraukan orang yang berada di sekelilingnya. Mereka juga akan bersikap agresif secara lisan atau fizikal. Mereka menggunakan kata-kata kasar, lucah, kurang ajar, tidak sopan.

Tingkah Laku Anti Soaial
Tingkah laku anti sosial atau distruktif merupakan tingkah laku yang boleh membahayakan diri, sekolah dan masyarakat. Kanak-kanak yang bertingkah laku anti sosial akan mempunyai permusuhan nyata. Mereka suka bergaduh, berlawan, bertumbuk, mencari pasal dengan mana-mana murid terutama rakan sebaya.
Ciri-ciri tingkah laku anti sosial termasuklah vandalisme. Mereka suka merosakkan harta benda awam seperti menconteng dinding menggunakan pen, pensil, marker atau tapak kaki, mematahkan alat pengepam tandas, memecahkan kerusi atau meja di dalam bilik darjah, menggores atau menconteng meja.
Selain itu, mereka akan menyertai kumpulan liar, iaitu terlibat dengan kumpulan tidak bermoral.Mereka akan mempunyai hubungan dengan beberapa orang yang  mempunyai perangai atau tabiat yang sama tetapi lebih kepada tingkah laku tidak baik. Geng juga akan wujud disebabkan oleh tingkah laku bermasalah negatif ini. Mereka menubuhkan kumpulan tertentu di dalam sekolah, kumpulan yang ditakuti atau digeruni oleh murid-murid lain ,Mereka bertindak membuli atau menakut-nakutkan murid-murid lain.
Tingkah laku anti-sosial lebih menjurus kepada masalah tingkah laku berbentuk jenayah. Di dalam sebuah sekolah, ia lebih difokuskan kepada masalah disiplin. Tingkah laku murid sebegini harus diberi perhatian khusus oleh guru-guru rendah kerana bibit-bibit jenayah pada peringkat ini jika dibiarkan akan menular dan merebak dan menjadi masalah besar pada peringkat akan datang.



Punca-punca Masalah Tingkah Laku
Pengaruh Genetik atau Baka
Menurut Teori Roe,minat dan kebolehan seseorang itu adalah diwarisi melalui baka genetik. Tenaga jiwa yang terdapat di dalam baka genetik tidak dapat dikawal sepenuhnya. Teori ini dikemukakan oleh Anne Roe ( 1957 ) dan Siegelman ( 1964 ). Teori ini menyatakan bahawa setiap individu mempunyai kaedah tertentu di dalam menggunakan tenaga jiwa yang diwarisinya.
Masalah tingkah laku boleh dipengaruhi oleh faktor biologi seperti baka. Contohnya, sifat introvert atau ekstrovert, pantulan dan ketakutan, cepat atau murah marah, selalu berasa tegang dan bimbang. Baka juga merupakan satu faktor yang mempengaruhi perkembangan aspek fizikal seseorang. Sekiranya ibu bapa berbadan gemuk, kemungkinan besar anak mereka juga berbadan gemuk. Kanak-kanak yang gemuk akan berasa malu dan menjadi pendiam. Mereka tidak mahu bergaul dengan rakan-rakan kerana takut diejek dan sebagainya.
Perkembangan mental seseorang banyak dipengaruhi oleh faktor baka. Kecergasan tinggi atau rendah biasanya telah ditentukan oleh baka yang diwarisi daripada ibu bapanya. Sekiranya ibu bapa mempunyai kecerdasan yang rendah, mereka akan mempunyai anak-anak yang lemah kecerdasannya. Hal ini akan menyebabkan timbulnya rasa rendah diri, mengasingkan diri dan terbelakang dari rakan sebaya.

Faktor Diri
Menurut Duke ( 1980 ) menyatakan bahawa setiap individu bertanggungjawab terhadap perlakuannya sendiri. Murid-murid berkemungkinan menjadi tidak berdisiplin kerana mengikut kehendak-kehendak diri mereka sendiri tanpa sebarang pengaruh dari luar, iaitu apa yang dikatakannya sebagai “ the potential influence of student’s free will “.
Mengikut Rabven ( 1977 ) apabila murid-murid tidak berminat dalam mata pelajaran tertentu dan guru pula tidak menarik minat mereka maka murid-murid tersebut akan hilang semangat belajar dan akan melakukan apa jua yang telintas dalam fikiran mereka.
Kanak-kanak bagaikan kain putih dan tidak dapat membezakan baik dan buruk. Kanak-kanak mudah terikut-ikut dengan kumpulan yang sama umur dari segi perlakuan dan percakapan. Oleh itu pengaruh rakan sebaya akan lebih cepat mempengaruhi tingkah laku kanak-kanak. Media masa turut menyumbang dan memberi kesan terhadap perkembangan tingkah laku kanak-kanak.
Selain itu, kanak-kanak mudah terpengaruh dengan aksi atau lakonan apabila mereka menonton atau membaca. Kanak-kanak belajar melalui pemerhatian dan apa yang mereka lihat sama ada melalui surat khabar, televisyen, filem yang dilakonkan oleh pelakon-pelakon dan meniru aksi apa yang ditonton.
Sesetengah kanak-kanak kekurangan keyakinan diri dalam melakukan sesuatu. Mereka takut untuk mengemukakan idea mereka atau menunjukkan bakat mereka.  Mereka berasa diri mereka kurang baik dan takut sekiranya mereka melakukan kesilapan. Mereka takut diejek oleh rakan-rakan mereka dan lebih suka untuk mengasingkan diri daripada kumpulan.

Faktor Keluarga
Faktor kekeluargaan pula boleh dilihat melalui tingkah laku ibu bapa, penceraian dan kesibukan bekerja. Gabarino, Gattman & Sealey et. Al (1986) mengkategorikan lima tingkah laku ibu bapa yang dikira sebagai mendera emosi kanak-kanak iaitu penolakan, pengasingan, menakutkan, sikap tidak peduli dan merasuah fikiran. Jika salah satu daripada tingkah laku ini dilaksanakan di rumah, kanak-kanak didedahkan dengan suasana yang tidak sihat sehinggakan anak-anak hidup dalam suasana keji-mengeji dan kutuk-mengutuk sebagai kebiasaan dalam hidup seharian mereka.
Penceraian juga boleh menyebabkan tingkah laku bermasalah kanak-kanak terjadi. Sekiranya kanak-kanak yang sentiasa hidup dalam kancah rumah tangga yang sering kali bercerai, maka tidak sempurna kehidupan mereka dan mempunyai risiko yang tinggi mendapat gangguan emosi pada masa akan datang. Kanak-kanak yang terganggu emosinya lebih sering mengeluh sakit seperti demam,sakit tekak, sakit perut dan sebagainya.Seseorang akan merasa marah terhadap ibu bapanya kerana bercerai dan dia melepaskan perasaan marahnya itu melalui perubahan sikap mendadak. Dia menjadi degil, bersikap panas baran, bertumbuk dengan budak-budak lain, mencuri, ponteng sekolah, bercampur dengan kumpulan budak-budak nakal dan menghisap rokok. Dia menjadi penyedih dan tidak suka bergaul, asyik menyendiri, menangis seorang diri, tidak tidur lena malam dan kelihatan malas.
Kesibukan mencari rezeki menyebabkan ibu bapa tidak mempunyai masa berkualiti dengan anak-anak. Anak-anak akan terasa diabaikan oleh ibu bapa mereka dan tidak merasai kasih sayang di rumah. Mereka akan cuba untuk membuat sesuatu untuk menarik perhatian ibu bapa. Kadang-kala, ibu bapa yang mengalami tekanan dalam pekerjaan akan melepaskan geram ke atas anak mereka. Hal ini turut memberikan kesan negatif kepada anak-anak mereka.

Faktor Sekolah
Marimuthu (1980) menjelaskan terdapat perhubungan rapat di antara keadaan keluarga yang kucar kacir dengan perlakuan-perlakuan salah laku  di kalangan generasi muda. Saiz sekolah juga memberi kesan kepada murid.  Sekolah yang besar atau keadaan bersesak-sesak mempunyai pertalian yang disignifikan dengan masalah tidak berdispilin. ( Balley, 1971 dan Reynolds, 1977). Menurut Dunhill (1965) mendapati keadaan dalam kelas yang tidak dikelolakan dengan baik akan menimbulkan disiplin kerana keadaan demikian akan menimbulkan watak yang kurang baik di kalangan murid.
Suasana persekitaran sekolah yang kurang konduksif akan menyebabkan masalah tingkah laku. Contoh suasana sekolah yang kurang konduksif termasuklah berhampiran kawasan pembinaan, jauh dari bandar, terpencil dan tiada kemudahan asas. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran membosankan seperti alat bantu mengajar yang tidak menarik, cara penyampaian guru yang monotone dan sukar difahami oleh murid turut mengakibatkan berlakunya masalah tingkah laku. Keadaan pembelajaran kelas yang tidak dikelolakan dengan baik akan menyebabkan murid bosan dan tidak dapat menumpukan perhatian dengan minat terhadap mata pelajaran yang diajar.
Keadaan fizikal sekolah kurang konduksif akan menyebabkan murid berasa kurang selesa. Antaranya termasuklah bilik darjah yang kotor, kawasan sekolah yang kotor, tiada perhiasan atau kemudahan untuk murid. Pengurusan sekolah bercorak autokratik seperti guru yang terlalu garang, disiplin yang terlalu ketat, selalu menggunakan kaedah hukuman atau dendaan, perkhidmatan kaunseling yang tidak mencukupi menyebabkan murid-murid memberontak dan tidak ingin diletak di bawah kawalan yang ketat ini. Pendapat dan pandangan murid tidak mendapat perhatian sekolah juga merupakan salah satu faktor. Murid hanya mengikut arahan tanpa bantahan, maslah murid tidak didengari atau diambil perhatian, tiada kompromi dari guru. Penilaian negatif mewujudkan permusuhan nyata oleh murid dan melepaskan geramnya dengan membalas dendam.



Ciri-Ciri Masalah Tingkah Laku
Ciri-ciri kanak-kanak masalah tingkah laku termasuklah berkelakuan nakal. Nakal merujuk bagaimana individu itu berkelakuan lincah, tidak duduk diam atau sentiasa melakukan sesuatu yang tidak menyenangkan atau disenangi oleh orang lain di sekelilingnya. Berkelakuan nakal meliputi banyak aspek seperti suka membuat bising di dalam bilik darjah, murid tidak duduk diam di tempatnya, murid suka berjalan-jalan di dalam bilik darjah ketika guru tiada di dalam kelas dan menganggu kawan-kawannya yang lain dan gemar bermain-main semasa proses pembelajaran berlaku.
Murid-murid yang berkelakuan nakal ini biasanya sudah tidak makan saman dengan teguran, amaran atau dendaan. Perbuatannya hanya berhenti buat sementara waktu sahaja apabila didenda , ditegur atau dimarah. Apabila sudah tidak ditegur atau dimarah atau diingatkan oleh guru, kelakuan murid itu akan kembali kepada perangai asalnya. Ada sesetengah murid menggunakan taktik tidak hadir ke sekolah sebagai alasan daripada dimarahi, didenda atau dikenakan hukuman oleh guru kerana bersikap nakal di dalam kelas.
Pengasingan diri juga merupakan salah satu ciri murid bermasalah tingkah laku. Murid yang suka mengasingkan diri ini kebiasaannya tidak mahu bergaul dengan kawan-kawan yang lain. Murid ini suka menjauhkan diri dari kelompok dan meletakkan dirinya di satu sudut atau tempat terpencil. Murid yang suka mengasingkan diri mempunyai beberapa sebab tertentu seperti keadaan fizikal yang tidak sempurna, merasai kekurangan dari segi material berbanding rakan-rakan lain, sikap dari diri individu itu sendiri semenjak kecil atau mempunyai masalah peribadi atau dalaman. Kemungkinan, murid itu tidak biasa hidup di dalam kelompok kerana sudah terbiasa sejak kecil lagi hidup bersendiri dan merupakan anak tunggal atau bilangan adik beradik yang kecil. Murid sebegini jarang bercakap atau tidak banyak berinteraksi.
Murid yang suka mengasingkan diri serta bermasalah tingkah laku atas faktor masalah keluarga, kewangan dan kurang perhatian dari kawan-kawan , kebiasaannya berwajah murung, tidak ceria dan kurang senyum. Murid sebegini juga kurang memberi penumpuan atau perhatian di dalam kelas. Murid ini lebih banyak berkhayal atau mengelamun ketika belajar. Sesetengah pula,menunjukkan sikap tidak berminat langsung untuk belajar.
Tabiat suka merosakkan harta benda awam sememangnya tabiat yang paling buruk dan juga merupakan sejenis masalah tingkah laku. Antara perlakuan buruk ini termasuklah menconteng dinding menggunakan objek (pensel, pen atau marker ). Bagi yang tiadak mempunyai peralatan untuk menconteng, tapak kasut adalah jalan mudah bagi mereka memenuhkan ruang dinding. Selain itu, tabiat suka mematahkan atau merosakkan pam tandas sekolah juga semakin berleluasa. Ada juga murid yang mencabut batang paip tandas sekolah. Perkara yang sering dilakukan oleh murid-murid yang suka merosakkan harta benda ialah menconteng meja atau kerusi yang terdapat di dalam kelas.
Abdullah Salleh ( 1979 ) dalam kajiannya menyatakan sebab-sebab murid melakukan ‘vandalism‘. Di antaranya ialah mahu membalas dendan terhadap sekolah, suka melihat benda itu hancur, hendak menunjukkan kekuatan atau kelebihan, dan keadaan terbiar tanpa pengurusan dari guru semasa di dalam bilik darjah.
Ciri-ciri kanak-kanak pintar cerdas termasuklah mula berjalan dan bercakap lebih awal dari kanak-kanak biasa. Semasa kecil lagi mereka sudah menunjukkan kebolehan menyusun perkataan dan frasa yang bermakna.Mereka mungkin lebih besar, lebih kuat daripada kanak-kanak biasa yang sebaya dengannya dan dalam ukuran tertentu mereka biasanya adalah luar biasa seperti ukuran dada, kekuatan otot dan perkembangan paru-paru. Kanak-kanak pintar cerdas boleh menarik perhatian ibu bapa dengan menunjukkan gaya, tidak semestinya di hadapan pelawat yang datang ke rumah atau penonton. Gaya diri yang luar biasa mungkin satu dari tanda luar biasa kanak-kank pintar cerdas.
Selain itu, mereka akan menunjukkan minat pada masa lebih awal. Mereka bercakap mengenai masa seperti semalam, hari esok, hari ini, hari-hari dalam seminggu, waktu ini dan waktu itu, kalender dan jam pada peringkat umur yang awal. Ini menunjukkan kesedaran pada dirinya berkaitan dengan masa. Kanak-kanak pintar cerdas menpunyai berbagai minat dan sikap spontan, disaingi dan perasaan ingin tahu dari segi intelek yang luas dan cepat berkembang. Mereka selalunya telah belajar membaca sebelum memasuki alam persekolahan. Kanak-kanak itu dikatakan telah mempunyai minat membaca yang lebih awal. Mereka mempunyai kebolehan membaca yang tinggi berbanding kanak-kanak lain yang sebaya dengan dirinya.
Di samping itu, mereka mempunyai hobi yang lebih banyak berbanding kanak-kanak lain. Mereka dapat mempelajari sesuatu dengan cepat dan mudah dan hanya memerlukan sedikit penerangan dari guru dan sedikit penerangan dari guru. Meraka mempunyai sifat tidak sabar mendapatkan latih tubu dari guru dan pandai menggunakan masa dengan berfaedah. Mereka juga boleh menyesuaikan apa yang dipelajari dengan menggunakan situasi lain. Pemindahan idea datang dengan begitu pantas sekali.
Murid bermasalah tingkah laku ingin tahu ini mempunyai sikap ingin tahu yang amat tinggi dari perkara besar hingga sehalus kuman. Guru pun boleh lemas dan letih menjawab pertanyaan murid yang mempunyai sikap ingin tahu yang terlalu tinggi. Adakalanya soalan yang dikemukakan tidak terdapat di dalam sukatan pelajaran tetapi perasaan ingin tahu lebih mendalam tentang topik yang dibincangkan sehingga boleh merimaskan guru untuk menjawabnya. Murid-murid lain di dalam kelas hanya termanggu-mangu menanti jawapan dari guru. Sedikit sebanyak sikap murid sebegini boleh mengganggu proses pembelajaran di dalam kelas.
Antara ciri-ciri kanak-kanak yang mempunyai masalah tingkah laku yang lain termasuklah bercakap besar, suka melakukan kegiatan negatif seperti mencuri dan menghisap rokok. Selain itu, mereka juga suka menyakiti hati orang, tidak mendengar arahan dan membantah. Mereka bersikap panas baran dan selalu risau berkenaan dengan perkara remeh. Kanak-kanak bermasalah tingkah laku juga tidak menyiapkan tugasan yang diagihkan oleh guru. Mereka juga mudah menangis, cerewet dan selalu berbohong.



Keperluan Kanak-Kanak Masalah Tingkah Laku
Kasih sayang yang tidak berbelah bagi dari ibu bapa amat penting dalam mendidik kanak-kanak bermasalah tingkah laku. Adalah amat penting bagi sesebuah keluarga hidup dalam suasana yang harmoni dan penuh kasih sayang. Walaupun setiap keluarga berbeza dari segi latar belakang dan budaya, aspek kasih sayang perlu wujud dan menjadi keutamaan. Kanak-kanak itu perlu mengetahui bahawa diri mereka disayangi. Mereka perlu tahu bahawa kasih sayang yang diterima tidak bersyarat dan tidak bergantung kepada kesalahan ataupun kesilapan yang mereka lakukan.
Sering kali, dalam sesebuah keluarga, wujud keadaan di mana salah seorang anak berasa mereka kurang atau tidak disayangi oleh ibu bapa dan ahli keluarga yang lain, mereka meletakkan kegagalan pencapaian mereka sebagai salah satu sebab mengapa mereka tidak disayangi. Di samping itu juga, terdapat kanak-kanak yang merasakan mereka mendapat kurang kasih sayang disebabkan diri mereka yang kurang menyerlah dari segi kebolehan berbanding adik beradik yang lain.
Dalam situasi sebegini, kanak-kanak perlu diyakinkan bahawa kasih sayang yang diterima tidak bergantung kepada pencapaian atau kegagalan mereka. Mereka perlu tahu bahawa setiap kanak-kanak mempunyai kelebihan dan kekurangan masing- masing dan segala kekurangan atau kegagalan perlulah diterima seadanya. Kasih sayang yang tidak berbelah bagi dari ibu bapa dan ahli keluarga akan dapat membantu kanak-kanak yakin terhadap diri sendiri dan berasa diri mereka dilindungi.
Selain itu, kanak-kanak perlu diberi peluang bermain dengan kanak-kanak lain dan rakan sebaya. Dalam membesarkan kanak-kanak, ada ketikanya ibu bapa terlupa kanak-kanak perlu diberi masa untuk bermain. Dalam mengejar arus pemodenan masa kini, ibu bapa lebih memberi penekanan kepada pencapaian akademik sehingga ada ketikanya kanak-kanak langsung tiada masa bermain atau beriadah. Kerap kali ibu bapa mengucapkan kata-kata seperti “Kamu asyik nak main sahaja” atau ”Baca buku itu, jangan main” tanpa menyedari kepentingan bermain bagi kanak-kanak.
Sekiranya kanak-kanak asyik dipaksa untuk melakukan sesuatu yang tidak disukai dan peluang untuk mereka bergaul dangan rakan sebaya mereka dikurangkan, kanak-kanak mungkin akan bersifat mengasingkan diri dan tidak berani untuk bergaul dengan orang lain. Peluang seharusnya diberikan kepada kanak-kanak untuk bermain sama ada sendirian atau dengan kawan-kawan secara berkumpulan. Dengan itu, kanak-kanak tidak akan terasa tertekan dengan kehidupan. Mereka dapat melepaskan tekanan di samping berkenalan dengan kawan baru.
Bermain merupakan suatu elemen penting dalam kehidupan kanak-kanak dan sama pentingnya dengan keperluan lain seperti belajar, makan dan tidur. Bermain mengajar kanak-kanak berinteraksi dengan orang lain serta dapat memupuk kemahiran bersosial seperti berkawan, mengawal diri, berkongsi dan bertoleransi. Bermain juga membantu kanak-kanak memupuk kreativiti dan menyesuaikan diri terhadap persekitaran. Sewaktu bermain, kanak-kanak bebas untuk berlari, ketawa dan menjerit dan ini dapat membantu pernafasan dan menggalakkan mereka meluahkan perasaan. Pada masa yang sama bermain bersama rakan-rakan akan juga membantu kanak-kanak mengenal pasti kekuatan dan kelemahan diri mereka dan mempelajari cara bermain dengan betul.
Apabila bermain dengan rakan sebaya, kanak-kanak biasanya berasa selesa dan ini membantu meningkatkan keyakinan diri. Dalam mengharungi kehidupan masa kini, ada juga sesetengah ibu bapa yang tidak membenarkan anak-anak mereka bermain dengan rakan sebaliknya membiarkan menonton televisyen, melayari Internet atau bermain ”video game” tanpa pemantauan dengan alasan tidak mahu anak keluar dari rumah. Amalan ini tidak sepatutnya berlaku. Ibu bapa seharusnya memastikan masa menonton dihadkan dan memilih rancangan yang sesuai untuk ditonton supaya kanak-kanak tidak terpengaruh dengan perlakuan negatif dari televisyen dan permainan video. Ibu bapa perlu bermain dengan kanak-kanak dan melakukan aktiviti bersama. Ini dapat memberi peluang kepada ibu bapa berinteraksi dan berkongsi pendapat bersama anak-anak.
Di samping itu, kanak-kanak perlu diberi peluang membina keyakinan dan harga diri. Sebagai kanak-kanak, mereka seharusnya dibimbing untuk mencuba aktiviti baru mengikut kebolehan mereka. Di peringkat kanak-kanaklah mula terbentuk personaliti, keyakinan dan harga diri jika diberi bimbingan yang baik. Harga diri terbentuk apabila kanak-kanak belajar menilai diri, menyayangi diri sendiri menghormati diri sendiri dan orang lain. Bagi mencapai kejayaan dalam sebarang bidang yang diceburi, kanak-kanak semestinya mempunyai harga diri dan keyakinan diri yang tinggi. Keyakinan dan harga diri boleh dibentuk dengan beberapa cara antaranya memberi pujian sekiranya berjaya dalam perkara yang dilakukan dan galakan untuk mencuba lagi sekiranya menghadapi kegagalan. Ibu bapa perlu memberi pujian kepada anak-anak sekiranya mereka telah berbuat sesuatu perkara yang baik. Dengan cara ini, kanak-kanak akan merasa diri mereka dihargai dan disayangi.
Kanak-kanak juga mempunyai perasaan. Kata-kata seperti ”Syabas” dan ”Tahniah” adalah antara kata-kata yang boleh menyuntik semangat kanak-kanak untuk berusaha dengan lebih gigih dan meningkatkan harga diri mereka. Sekiranya ibu bapa atau orang dewasa mengeluarkan kata-kata yang negatif seperti ”Kenapa bodoh sangat?” ”degil” dan ”tidak pandai”, ini akan menyebabkan kanak-kanak berasa rendah diri. Elakkan dari mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan dan menyindir bila kanak-kanak melakukan kesilapan. Mereka akan mempunyai perasaan takut untuk berbuat kesilapan dan membesar dengan mempunyai harga diri yang rendah. Selain itu, kanak-kanak perlu dibimbing untuk memilih aktiviti yang sesuai dengan keupayaan mereka. Mereka perlu diberi dorongan dan bimbingan dalam menentukan matlamat dan cita –cita. Ibu bapa mestilah mampu berbincang dan mengakui kesilapan sendiri bila berbuat silap. Ini akan membantu mereka menghargai kejujuran dalam membentuk sifat-sifat terpuji semasa membesar.
Kanak-kanak memerlukan persekitaran yang selamat, tenteram dan terjamin. Bagi menjamin tumbesaran dan perkembangan mental yang sihat, persekitaran di mana kanak-kanak itu tinggal perlulah selamat. Kanak-kanak memerlukan kasih sayang dan perlindungan daripada keluarga mereka. Bgi memastikan kanak-kanak ini membesar dengan penuh keyakinan, kanak-kanak perlulah berada dalam persekitaran fizikal dan emosi yang selamat dan menggalakkan bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti seharian. Tidak kira persekitaran itu di rumah, sekolah, pusat jagaan, pusat pembelajaran dan taman permainan kanak-kanak, kawasan tersebut perlulah dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang boleh menghalang berlaku kecederaan dan pencabulan hak kanak-kanak. Keselamatan yang dimaksudkan ini tidak tertakluk kepada keselamatan fizikal tetapi turut merangkumi keselamatan emosi.
 Sesebuah keluarga yang berdepan dengan konflik boleh mempengaruhi kesihatan mental kanak-kanak. Ibu bapa yang sering bergaduh dan mengeluarkan kata-kata kesat dan memaki hamun boleh menyebabkan kanak-kanak berasa keliru, sedih dan sentiasa menyalahkan diri mereka sendiri akibat dari apa yang berlaku kepada ibu bapa. Kanak-kanak yang menghadapi situasi sebegini akan menjadi sukar bersuara pasif serta tidak tegas diri. Kanak-kanak ini menjadi takut untuk menyuarakan keinginan dan perasaan mereka sendiri. Persekitaran yang ceria akan membantu kanak-kanak menjadi cergas, aktif, berani bersuara dan menyatakan pendapat tanpa perasaan takut dan bimbang.
Seperkara lagi, kanak-kanak memerlukan bimbingan dan disiplin sewajarnya dari ibu bapa, guru dan penjaga. Sekiranya kanak-kanak melakukan kesalahan, mereka perlu didisiplinkan . Keluarga dan masyarakat bertanggungjawab untuk memberikan bimbingan dan disiplin sewajarnya kepada kanak-kanak. Dalam mendisiplinkan anak-anak, ibu-bapa perlu memberi teguran yang konsisten. Sekiranya mereka melakukan kesalahan, hukuman perlu diberi. Walau bagaimanapun, hukuman fizikal seperti merotan, memukul dan menampar akan menyebabkan kanak-kanak memberontak dan menjadi lebih agresif.
Hukuman yang diberi perlu mengajar mereka mendisiplinkan diri sendiri seperti hukuman mendenda mereka melakukan kerja rumah, tidak membenarkan mereka keluar rumah untuk bermain (grounded), berdiri menghadap dinding (time-out), atau memotong wang perbelanjaan bertujuan mengajar memperbaiki diri dan ke arah kebaikan. Anak-anak perlu diterangkan mengapa mereka dihukum. Ketegasan ibu bapa diperlukan dan anak-anak perlu diberitahu bahawa kemarahan hanya pada tingkah laku mereka dan bukan pada diri mereka.



Pengurusan Tingkah Laku
Terdapat empat perkara asas yang amat penting dalam pengurusan tingkah laku. Antaranya termasuklah peneguhan, hukuman, prompts dan kiu.
Peneguhan merupakan satu bentuk objek, stimuli atau perbuatan. Ia diberikan kepada tingkah laku tertentu dengan tujuan untuk meningkatkan kekuatan dan kekerapan tingkah laku tersebut. Hal ini menunjukkan bahawa tingkah laku dapat digalakkan melalui amalan peneguhan.
Hukuman merupakan satu bentuk tingkah laku yang diberikan selepas melakukan sesuatu tingkah laku yang salah. Hukuman boleh dibahagikan kepada tiga bahagian. Bahagian pertama adalah satu tingkah laku tertentu terjadi. Bahagian kedua pula menyatakan tentang satu konsikuen semerta mengikuti tingkah laku tersebut dan bahagian ketiga adalah sebahagian hasil daripada tingkah laku yang kemungkinan tidak berlaku lagi di masa akan datang. Hukuman juga merupakan pengawal tingkah laku yang kuat. Hukuman boleh dikategorikan kepada dua iaitu hukuman positif dan hukuman negatif.
Hukuman positif adalah bentuk tingkah laku yang diberikan dan diikuti dengan pemberian satu ransangan yang tidak menyenangkan. Manakala hukuman negatif adalah tingkah laku yang diberikan dan diikuti dengan penarikan ransangan yang meneguhkan.




Prompts adalah ransangan yang digunakan untuk meningkatkan penglibatan individu dalam melaksanakan tingkah laku yang betul. Ia diberikan sebelum atau semasa tingkah laku itu dilakukan. Terdapat dua jenis prompts iaitu respon dan stimulus. Prompts respon adalah tingkah laku individu lain yang meransangkan respon yang diperlukan. Antaranya adalah prompts lisan, gesture, tunjuk cara dan fizikal. Manakala prompts stimulus pula melibatkan perubahan, penambahan atau penarikan pada  stimulus. Ini adalah bertujuan untuk memastikan respon yang betul diperolehi.Kiu adalah amalan yang membolehkan murid untuk membezakan objek atau konsep yang relevan dengan objek atau konsep yang lain. Contohnya, guru membezakan suku kata dengan mengunakan warna merah dan warna hitam. Hal ini akan membantu murid untuk membezakan suku kata pertama dengan suku kata kedua di samping dapat memudahkan proses bacaan.

Bibliografi
Donald D. Hammill (2005). Journal of Learning Disabilities Volume 38 Number 6. U.S.A: PRO-ED
Donald D. Hammill (2005). The Journal of Special Education Volume 39 Number 2. U.S.A: PRO-ED
Dr. Ragbir Kaur A/P Jaginder Singh (2006). Panduan Ulangkaji Ilmu Pendidikan Untuk KPLI (Sekolah Rendah dan Menengah). Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman.
Dr. Ragbir Kaur A/P Jaginder Singh (2012). Panduan Ilmu Pendidikan Untuk DPLI Psikologi. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Mok Soon Sang (2011). Nota Intisari Ilmu Pendidikan Psikologi Pendidikan. Puchong: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Mok Soon Sang (2012). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku. Puchong: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Rohaty Mohd. Majzub (1992). Psikologi Perkembangan Untuk Bakal Guru. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Shahabuddin Hashim, Dr Rohizani & Mohd. Zohir. (2003). Pedagogi : Strategi dan Teknik Mengajar dengan Berkesan. Pahang: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Steve Graham (2005). Exceptional Children Volume 71 Number 4. Arlington, Virginia: Council for Exceptional Children

Steve Graham (2005). Exceptional Children Volume 72 Number 1. Arlington, Virginia: Council for Exceptional Children

Tiada ulasan:

Catat Ulasan